Monday, May 21, 2007

Kem Remaja Permata Kasih

Malacca Tropical Fruit Farm . Sambil menikmati sarapan pagi , urusetia program yang mewakili PERKIM dan LPPKN sempat berbincang mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang hari tersebut bagi memastikan kelancaran program. Kelihatan Encik Abdul Aziz ( T-shirt merah ) selaku JK Siaraya / PA System , Hj Farid selaku Kem Komanden ( T-shirt hijau ) , Ustaz Abdullah ( T-shirt kuning ) yang mewakili Biro Dakwah serta En Chong ( t-shirt jingga ) selaku fasilitator LPPKN sedang mengadakan sesi perbincangan tidak rasmi .
Urusetia Kem Permata Kasih , Pn Zarina Hussein , Sdr Murniyati Ishak dan Sdri Hanum Supian ( petugas di check point ) sedang bergambar bersama peserta Kem ketika mereka berehat sejenak selepas melalui pengembaraan yang jauh sambil membawa belon berisi air tiap seorang. Sempat bergelak ketawa walau pun keletihan .

Mantan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Melaka , Tn Hj Rahim Hj Hussein sedang mengendalikan slot ceramah beliau mengenai " Ciri-Ciri seorang pelajar Cemerlang" . Perkim Kesidang amat berbangga diatas kesudian beliau menerima pelawaan kami untuk menyampaikan ceramah yang ternyata amat bertenaga dan cemerlang. Sesungguhnya beliau seorang penceramah yang hebat!! Terima kasih Tn Hj Rahim....

Sesi pembentangan sedang dijalankan oleh kumpulan yang mengambil bahagian . Telatah mereka yang lucu dan selamba serta disulami suara nakal pasukan lain yang sesekali mencelah benar-benar menggamatkan dewan . Kelihatan Cik Wan dari LPPKN ( berbaju biru muda )sedang mengendalikan sesi pembentangan ini.

" Awak yakin mampu mengendalikan program ini untuk pelajar-pelajar bukan melayu ? PERKIM ini sebuah pertubuhan Islam . Lambang hijau bulan sabit pada letter head surat ini pun dah membuat pengetua sekolah-sekolah berkenaan berfikir sepuluh kali untuk membenarkan penyertaan pelajar mereka ....."
kata-kata Ketua Unit Perhubungan Swasta Jabatan Pelajaran Mka sedikit sebanyak menggoyahkan keyakinan saya . Tapi , niat yang baik pasti dipermudahkan Allah swt . Sebagaimana KPWKM dan LPPKN dengan mudah telah meluluskan kertas kerja kami dengan budget yang diperlukan , dengan izin Allah swt juga , pasti untuk mendapatkan peserta bagi kem ini adalah semudah memetik jari . Insyaallah .
Kem Permata Kasih menyaksikan semangat muhibah dan bersatu padu yang terjalin diantara remaja pelbagai keturunan , agama dan bangsa. Keikhlasan jelas terpancar di wajah anak-anak muda ini sepanjang berkerjasama di dalam satu pasukan . PERKIM Kesidang berbangga kerana dapat bersama-sama KPWKM/LPPKN merealisasikan impian 1Malaysia . Walaupun hanya sebuah pertubuhan kebajikan yang berorientasikan islam , kami berjaya membuktikan bahawa kami mampu mengendalikan kumpulan sasar yang terdiri dari pelajar-pelajar beragama Hindu , Buddha , Kristian dan lain-lain.

Diantara Urusetia yang telah bertungkuslumus untuk menjayakan program ini . Dari kiri Pn Zarina Hussein , Pn Hjh Azizah , Ustazah Noraini Mamat dan Sdri Norhidayah Malega Abdullah. Kem Permata Kasih telah diadakan selama 3h2m bertempat di Malacca Tropical Fruit Farm Sg Udang Melaka . Terima kasih kepada semua fasilitator dari LPPKN Melaka yang diketuai oleh Cik Wan Norazlina , kakitangan MTFF yang diketuai oleh Pn Norliza dan wakil PERKIM Bahagian Negeri Melaka Datuk Hj Abu b. Pit yang sudi merasmikan program ini .
Selain sesi mauizzah hassanah dan ceramah motivasi , aktiviti luar turut diadakan bagi keseimbangan rohani dan jasmani . Peserta telah memberi kerjasama yang amat baik kepada fasilitator jemputan . Berbekalkan beberapa barangan yang harus dibawa dan nota tugasan yang harus dikumpulkan di setiap checkpoint , ternyata mereka sangat teruja untuk menyelesaikan tugasan yang diperolehi . Kerjasama yang rapat turut terjalin diantara para peserta sepanjang aktiviti berlangsung .


" Masyarakat bermaruah bermula dengan mu - PAK LAH " Kem Permata Kasih diilhamkan oleh Datuk Sharizat Jalil menerusi kementerian beliau KPWKM . PERKIM Kesidang telah diberi penghargaan untuk menganjurkan program ini khusus untuk peserta remaja sekolah - sekolah menengah sekitar DUN Kesidang dengan kerjasama KPWKM/LPPKN . Antara sekolah yang mengambil bahagian adalah SMK Perempuan Methodist , SMK Tun Tuah , SMK Methodist (ACS) , SMK Malim , SMK Notre Dame , Sekolah Tinggi (C) Katolik , SMK IJ Convent , SMK Tinggi Perempuan Melaka , SMK Teknik Melaka Tengah dan SMK Hj. Talib Karim . Seramai 77 peserta telah mendaftar tanpa mengira bangsa , agama dan keturunan .

Gambar yang dipaparkan merupakan antara aktiviti berkumpulan yang dijalankan oleh peserta yang terdiri dari pelbagai bangsa/agama dan peringkat umur . Ternyata kesemua peserta saling bekerjasama untuk mencapai satu hasrat dan berusaha mendahului pasukan lain . Setiap hasil kerja mereka akan diakhiri dengan pembentangan . Telatah dan karenah peserta semasa sesi pembentangan amat menghiburkan serta sering menggamatkan dewan . Kejayaan menganjurkan kem ini memberi suntikan semangat kepada kami untuk bekerjasama dengan LPPKN/KPWKM untuk program yang lain di masa akan datang . Insyaallah.