Sunday, September 30, 2007

Meraikan Imam Muda Negara China

Selamat datang peserta kontigen Imam Muda dari Negara China ke Masjid Tengkera Melaka. Terima kasih kepada semua pihak yang telah merealisasikan hasrat PERKIM Cawangan Kesidang untuk mengundang peserta ini mengerjakan solat tarawih di masjid tertua di Melaka yang berada dalam DUN Kesidang dan menjamu mereka berbuka puasa sempena bulan Ramadhan Al Mubarak .
Menikmati hidangan berbuka puasa yang disaji dalam dulang besar dikongsi berempat memberi pengalaman baru kepada peserta berkenaan . Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengarah Kolej Teknologi Islam Melaka , Dr Baharudin Puteh . Bagi qariah Masjid Tengkera , ini juga merupakan pengalaman baru kepada mereka kerana berpeluang mengerjakan solat Tarawih berimamkan peserta kontigen Imam Negara China kerana sebelum ini selain imam tempatan , beberapa Imam dari Makkah Al Muqaramah sering mengimamkan solat tarawih di sini .

Sesi beramah mesra diantara ahli dan AJK PERKIM Cawangan Kesidang , Lembaga Wakaf Masjid Tengkera , kakitangan Kolej Teknologi Islam Melaka dan peserta Kontigen Imam Muda Negara China sambil berbuka puasa . Seramai 40 orang peserta kontigen Imam Muda dari Negara China yang sedang mengikuti kursus satu bulan di Kolej Teknologi Islam Melaka telah diundang oleh PERKIM Cawangan Kesidang ke Masjid Tengkera , salah sebuah dari masjid tertua di Negeri Melaka yang kebetulan terletak di DUN Kesidang . Terima kasih kepada En Zulkarnain Goh Abdullah , Pengarah Kolej Komuniti Masjid Tanah yang juga merupakan AJK PERKIM Kesidang kerana kesudian menyumbang goodie bag untuk dijadikan cenderahati kenang-kenangan kepada peserta-peserta undangan kami .

Kunjungan silaturahim Kontigen Imam - imam Muda dari Negara China atas undangan PERKIM Cwgn Kesidang dengan kerjasama Lembaga Wakaf Masjid Tengkera Melaka untuk berbuka puasa sempena Bulan Ramadhan telah menarik penduduk setempat untuk bersama-sama kami dalam majlis serba ringkas itu . Imam - imam ini tidak boleh berbahasa Melayu , hanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang mudah , bagaimanapun amat fasih berbahasa Arab . Salah seorang dari mereka telah diminta menjadi imam untuk solat Isyak dan tarawih pada malam tersebut.

Thursday, June 21, 2007

Lawatan ke Jakarta-Puncak-Bandung

PERKIM Cawangan Kesidang melebarkan sayap ke Jakarta-Puncak-Bandung, Indonesia. Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana ini kali pertama PERKIM menganjurkan lawatan ke luar negara. Selepas berjaya menganjurkan kunjungan silaturrahim ke Sarawak dan Sabah , ramai peserta yang mencadangkan agar aktiviti lawatan dijadikan program tahunan PERKIM. Biro Rekreasi dan Pelancongan PERKIM Kesidang bersetuju hanya dengan syarat peserta yang berminat bersedia membiayai sepenuhnya yuran penyertaan lawatan TANPA mengharapkan sponsor dari mana-mana pihak . Ini adalah kerana PERKIM adalah sebuah pertubuhan kebajikan yang bukan berorientasikan keuntungan . Kami tidak sesekali akan meminta sumbangan atau dana dari mana-mana pihak hanya untuk tujuan lawatan . Ianya harus dibiayai oleh peserta sendiri dan mereka haruslah berkemampuan untuk tujuan tersebut. Hanya yang mampu diusahakan oleh PERKIM Kesidang demi kebajikan ahlinya ialah mendapatkan pakej dengan kos lebih rendah dari yang ditawarkan oleh mana-mana travel agensi . Insyaallah.

Pengerusi PERKIM Kesidang dan salah seorang AJK , En Ismail b Hashim bergambar bersama Hj Ishak salah seorang peserta trip di Tangkuban Perahu di Bandung . Pernah mendengar lagenda Sangkuriang ? Ternyata kawah gunung berapi ini masih aktif dan mampu meletuskan lava nya . Bau belerang di sini menyempitkan pernafasan tp merupakan pengalaman menarik bagi peserta Malaysia yang tidak pernah melihat Gunung Berapi di tempat sendiri .

Setiausaha PERKIM Kesidang Hjh. Azizah bt. Eliyas sempat bergambar di Perkampungan Islam Daarut Tawhid (Aa Gym) di Bandung . Peserta sempat mengerjakan Qiyamulail di masjid ini bersama jemaah yang lain , bagaimanapun bukan dipimpin oleh Sdr Abdullah Gymnastiar kerana beliau berada di Surabaya menghadiri majlis ilmu.

Peserta trip bergambar beramai - ramai berlatar belakangkan MONAS (National Monument) semasa di Jakarta. Pada keseluruhannya , kami berpuashati dengan trip ini kecuali terlalu banyak 'compulsory shopping stop' yang disusun oleh ground operator di sana . Secara jujur , ianya mungkin menguntungkan pihak-pihak tertentu tetapi memberi tekanan kepada peserta kerana 'terpaksa' singgah di semua premis yang menawarkan harga yang tinggi . Keadaan ini bukan hanya berlaku di Indonesia tetapi di mana-mana negara apabila kita menggunakan khidmat travel agensi . Itulah kelemahannya .....

Monday, May 21, 2007

Kem Remaja Permata Kasih

Malacca Tropical Fruit Farm . Sambil menikmati sarapan pagi , urusetia program yang mewakili PERKIM dan LPPKN sempat berbincang mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang hari tersebut bagi memastikan kelancaran program. Kelihatan Encik Abdul Aziz ( T-shirt merah ) selaku JK Siaraya / PA System , Hj Farid selaku Kem Komanden ( T-shirt hijau ) , Ustaz Abdullah ( T-shirt kuning ) yang mewakili Biro Dakwah serta En Chong ( t-shirt jingga ) selaku fasilitator LPPKN sedang mengadakan sesi perbincangan tidak rasmi .
Urusetia Kem Permata Kasih , Pn Zarina Hussein , Sdr Murniyati Ishak dan Sdri Hanum Supian ( petugas di check point ) sedang bergambar bersama peserta Kem ketika mereka berehat sejenak selepas melalui pengembaraan yang jauh sambil membawa belon berisi air tiap seorang. Sempat bergelak ketawa walau pun keletihan .

Mantan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Melaka , Tn Hj Rahim Hj Hussein sedang mengendalikan slot ceramah beliau mengenai " Ciri-Ciri seorang pelajar Cemerlang" . Perkim Kesidang amat berbangga diatas kesudian beliau menerima pelawaan kami untuk menyampaikan ceramah yang ternyata amat bertenaga dan cemerlang. Sesungguhnya beliau seorang penceramah yang hebat!! Terima kasih Tn Hj Rahim....

Sesi pembentangan sedang dijalankan oleh kumpulan yang mengambil bahagian . Telatah mereka yang lucu dan selamba serta disulami suara nakal pasukan lain yang sesekali mencelah benar-benar menggamatkan dewan . Kelihatan Cik Wan dari LPPKN ( berbaju biru muda )sedang mengendalikan sesi pembentangan ini.

" Awak yakin mampu mengendalikan program ini untuk pelajar-pelajar bukan melayu ? PERKIM ini sebuah pertubuhan Islam . Lambang hijau bulan sabit pada letter head surat ini pun dah membuat pengetua sekolah-sekolah berkenaan berfikir sepuluh kali untuk membenarkan penyertaan pelajar mereka ....."
kata-kata Ketua Unit Perhubungan Swasta Jabatan Pelajaran Mka sedikit sebanyak menggoyahkan keyakinan saya . Tapi , niat yang baik pasti dipermudahkan Allah swt . Sebagaimana KPWKM dan LPPKN dengan mudah telah meluluskan kertas kerja kami dengan budget yang diperlukan , dengan izin Allah swt juga , pasti untuk mendapatkan peserta bagi kem ini adalah semudah memetik jari . Insyaallah .
Kem Permata Kasih menyaksikan semangat muhibah dan bersatu padu yang terjalin diantara remaja pelbagai keturunan , agama dan bangsa. Keikhlasan jelas terpancar di wajah anak-anak muda ini sepanjang berkerjasama di dalam satu pasukan . PERKIM Kesidang berbangga kerana dapat bersama-sama KPWKM/LPPKN merealisasikan impian 1Malaysia . Walaupun hanya sebuah pertubuhan kebajikan yang berorientasikan islam , kami berjaya membuktikan bahawa kami mampu mengendalikan kumpulan sasar yang terdiri dari pelajar-pelajar beragama Hindu , Buddha , Kristian dan lain-lain.

Diantara Urusetia yang telah bertungkuslumus untuk menjayakan program ini . Dari kiri Pn Zarina Hussein , Pn Hjh Azizah , Ustazah Noraini Mamat dan Sdri Norhidayah Malega Abdullah. Kem Permata Kasih telah diadakan selama 3h2m bertempat di Malacca Tropical Fruit Farm Sg Udang Melaka . Terima kasih kepada semua fasilitator dari LPPKN Melaka yang diketuai oleh Cik Wan Norazlina , kakitangan MTFF yang diketuai oleh Pn Norliza dan wakil PERKIM Bahagian Negeri Melaka Datuk Hj Abu b. Pit yang sudi merasmikan program ini .
Selain sesi mauizzah hassanah dan ceramah motivasi , aktiviti luar turut diadakan bagi keseimbangan rohani dan jasmani . Peserta telah memberi kerjasama yang amat baik kepada fasilitator jemputan . Berbekalkan beberapa barangan yang harus dibawa dan nota tugasan yang harus dikumpulkan di setiap checkpoint , ternyata mereka sangat teruja untuk menyelesaikan tugasan yang diperolehi . Kerjasama yang rapat turut terjalin diantara para peserta sepanjang aktiviti berlangsung .


" Masyarakat bermaruah bermula dengan mu - PAK LAH " Kem Permata Kasih diilhamkan oleh Datuk Sharizat Jalil menerusi kementerian beliau KPWKM . PERKIM Kesidang telah diberi penghargaan untuk menganjurkan program ini khusus untuk peserta remaja sekolah - sekolah menengah sekitar DUN Kesidang dengan kerjasama KPWKM/LPPKN . Antara sekolah yang mengambil bahagian adalah SMK Perempuan Methodist , SMK Tun Tuah , SMK Methodist (ACS) , SMK Malim , SMK Notre Dame , Sekolah Tinggi (C) Katolik , SMK IJ Convent , SMK Tinggi Perempuan Melaka , SMK Teknik Melaka Tengah dan SMK Hj. Talib Karim . Seramai 77 peserta telah mendaftar tanpa mengira bangsa , agama dan keturunan .

Gambar yang dipaparkan merupakan antara aktiviti berkumpulan yang dijalankan oleh peserta yang terdiri dari pelbagai bangsa/agama dan peringkat umur . Ternyata kesemua peserta saling bekerjasama untuk mencapai satu hasrat dan berusaha mendahului pasukan lain . Setiap hasil kerja mereka akan diakhiri dengan pembentangan . Telatah dan karenah peserta semasa sesi pembentangan amat menghiburkan serta sering menggamatkan dewan . Kejayaan menganjurkan kem ini memberi suntikan semangat kepada kami untuk bekerjasama dengan LPPKN/KPWKM untuk program yang lain di masa akan datang . Insyaallah.

Sunday, April 15, 2007

Lawatan ke Shah Alam dan Putrajaya

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) di Putrajaya . Kunjungan silaturrahim PERKIM Cawangan Kesidang ke JAKIM tidak lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai peranan yang dimainkan oleh Badan ini dalam kemajuan Islam di negara kita. Usaha yang berterusan ini harus didokong dengan harapan akan memberi nafas kepada semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan Islam untuk menyemarakkan lagi usaha dakwah di negara kita .
Italic

Kunjungan peserta ke Pejabat JAKIM di Putrajaya . Kami tiba di Putrajaya agak lewat kerana hujan sangat lebat . Terima kasih pada kakitangan JAKIM yang setia menunggu walaupun jam menunjukkan hampir jam 4.30 petang . Peserta kemudian diberi taklimat mengenai aktiviti dakwah dan kebajikan yang dianjurkan oleh JAKIM . Sesi soaljawab turut memberi peluang kepada peserta untuk mengetahui lebih mendalam mengenai isu halal ( logo JAKIM ) , masalah murtad , program pengislaman , bahan terbitan JAKIM , permohonan peruntukan pembiayaan program dan sebagainya .

Kunjungan silaturrahim ke PERKIM Bahagian Negeri Selangor yang bertempat di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alam . Peserta sedang tekun mendengar taklimat sambil menonton tayangan slide . Menerusi taklimat yang disampaikan , kami bukan hanya mendapat penjelasan mengenai aktiviti yang dijalankan oleh Perkim Bahagian tersebut , tetapi juga dimaklumkan mengenai pencapaian beberapa cawangan PERKIM yang aktif di Negeri Selangor malah memiliki sejumlah dana yang besar . Kami disarankan agar mengatur kunjungan silaturrahim keatas cawangan berkenaan untuk bertukar fikiran serta menjalin hubungan kerjasama di masa hadapan . Insyaallah . Naib Pengerusi PERKIM Kesidang Tn Hj Ab Satar Abu Hassan sedang menyampaikan cenderahati kepada wakil PERKIM Bahagian Negeri Selangor selepas sesi taklimat dan ramah mesra . Terima kasih diatas kesudian PERKIM Selangor meluangkan waktu menerima kunjungan kami .

RADIO IKIM. Kunjungan ke IKIM telah memberi peluang kepada peserta menyaksikan sendiri bagaimana sesuatu rancangan atau siaran berkumandang ke udara . Juruhebah bertugas sedang memberi penerangan kepada Tn Hj Suid Albana , Tn Hj Hussein dan Tn Hj Ab Satar mengenai bidang tugasnya sebagai penyampai radio.

Sering mendengar rancangan yang berkumandang di udara menerusi Siaran Radio IKIM ? Lawatan ke Radio IKIM di Jln Langgak Tunku , KL telah memberi peluang kepada semua peserta mengetahui dengan lebih mendalam mengenai bidang siaran dan tugas / tanggungjawab seorang juruhebah. Apa yang menarik, juruhebah berkenaan turut memaklumkan kunjungan kami ke bilik siaran IKIM pada hari tersebut kepada para pendengar di luar sana . Peserta turut mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan bersama juruhebah bertugas .