Thursday, November 9, 2006

Lawatan ke Rumah Anak Yatim & Miskin PAYASUM


AJK PERKIM Kesidang yang terdiri dari En Ismail Hashim , Hj Mohd Farid , Hj Ab Satar , Ustaz Abdullah Tahir dan En Kamarulzaman Musally sempat berbincang dengan wakil PAYASUM sementara menanti ketibaan YBhg Datuk Hj Muhammad b Amat .

YBhg Datuk Hj Muhammad bin Amat telah diundang sebagai Naqib bagi menyempurnakan program Mauizzah Hassanah pada pagi tersebut. PERKIM Cawangan Kesidang telah menyampaikan sumbangan orangramai yang dikutip sempena bulan Ramadhan untuk disalurkan ke Rumah Anak Yatim dan Miskin tersebut . Kami juga telah mengumpul beberapa kotak pakaian terpakai yang masih berkeadaan baik untuk diagihkan kepada peserta puteri di Rumah ini .

Sesi bergambar beramai - ramai dengan penghuni puteri Rumah PAYASUM . Turut bersama di dalam gambar adalah pengerusi PERKIM WANITA Negeri Melaka , Allahyarham Datin Hjh. Noriah Othman yang menemani Datuk Pengerusi PERKIM Bahagian , Allahyarham Datuk Hj Muhammad b. Amat yang telah sudi untuk menyampaikan mauizzah hasanah .

Ucapan penghargaan dari Pengerusi PERKIM Cawangan Kesidang Melaka Tn. Hj. Mohd Farid bin Md. Saleh diatas layanan baik kakitangan serta penghuni rumah tersebut terhadap kunjungan kami . Di sebelah kiri adalah Tn. Hj. Ab. Satar bin Abu Hassan (Naib Pengerusi PERKIM Kesidang ). Sebanyak 6 buah kereta dengan lebih 20 orang ahli PERKIM telah hadir untuk bersama-sama penghuni PAYASUM sempena bulan Ramadhan Al Mubarak .

Saturday, August 19, 2006

Lawatan ke Sabah Negeri Bawah Bayu

Lawatan ke Sabah . Seramai 44 orang peserta terlibat dalam trip kali ini . Hari kedua kami di Kota Kinabalu . Selepas bersarapan pagi , kelihatan sebahagian peserta sedang bergambar kenang-kenangan dihadapan hotel penginapan kami Berjaya Palace sementara menunggu bas tiba untuk membawa kami ke destinasi seterusnya .
Peserta sedang bergambar beramai-ramai di Yayasan Sabah . Terima kasih kepada pihak Yayasan Sabah yang sudi menerima kunjungan PERKIM Cawangan Kesidang dan melayani kami dengan begitu baik sekali . Selain mendapat taklimat khas mengenai program yang dikendalikan oleh Yayasan Sabah dan tanggungjawab yang digalas oleh pihaknya , kami turut dijamu hidangan tengahari yang enak dan diberi peluang menaiki Menara Yayasan Sabah . Terdapat restoran yang berputar diatasnya dan membolehkan kami melihat keindahan Kota Kinabalu dari semua sudut 360 darjah .


Bermalam di Kinabalu Pine Resort, Kundasang, Sabah. Kami berkesempatan menyaksikan keindahan alam semulajadi ( flora dan fauna ) di Kinabalu Park serta melihat Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara dan menjadi kemegahan rakyat Malaysia .

Peserta mengunjungi Pasar Tamu Gaya untuk membeli cenderahati . Ini merupakan sebahagian dari agenda lawatan yang menyaksikan keterujaan peserta ketika membeli belah . Kelihatan En Yusof Onn dan pasangannya Pn Mornilah sedang mencari souvenir yang sesuai untuk dibawa pulang .

Program silaturahim bersama warga USIA , Sabah . Peserta sedang mendengar taklimat mengenai aktiviti dan pencapaian USIA ( United Sabah Islamic Association ) dalam penyebaran dan perkembangan agama Islam di Sabah. Terima kasih kepada pihak USIA yang telah membantu kami mendapatkan khidmat bas untuk disewa sepanjang 4 hari berada di Negeri Bawah Bayu.

Tuesday, August 15, 2006

Kem Kecemerlangan Pendidikan UPSR

Kem Kecemerlangan Pendidikan (UPSR) Anak-anak yatim Islam DUN Kesidang telah diadakan di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah selama 2 hari 1 malam . Kem ini melibatkan penyertaan seramai 57 peserta dikalangan anak-anak yatim Islam sekitar DUN Kesidang serta anak-anak ahli PERKIM yang layak . Diantara pihak yang telah bermurah hati menghulur sumbangan untuk penganjuran kem kecemerlangan ini adalah YAB Ketua Menteri Melaka Datuk Hj Mohd Ali Rustam , Yayasan Melaka , Kumpulan Melaka Berhad , Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YAPEIM) serta peruntukan khas dari YB Ahli Parlimen serta YB ADUN yang telah hadir di majlis perasmian penutup . Semoga usaha murni ini diberkati Allah swt dan beroleh hidayahNya . Insyaallah .

Biro Dakwah PERKIM Kesidang , Ustaz Abdullah Tahir memimpin bacaan yassin untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia sebelum memulakan kuliah Subuh dan Maghrib .


Peserta telah dibahagikan kepada kumpulan kecil dan beberapa orang sukarelawan PERKIM yang terdiri dari tenaga pengajar sekolah telah diminta mengendalikan sesi ini . Adalah diharapkan aktiviti seumpama ini dapat meningkatkan 'self esteem' pelajar-pelajar berkenaan agar lebih yakin berhadapan dengan masyarakat sekeliling tanpa memiliki perasaan rendah diri .

Majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil penyertaan telah dihadiri oleh Ahli Parlimen Kota Melaka YB En Wong Nai Chee yang sungguh prihatin , YB Datuk Hj Abu bin Pit ADUN Sg Rambai merangkap Naib Pengerusi I PERKIM Bahagian Negeri Melaka serta Exco Kebajikan Negeri Melaka YB Datuk Hjh Ramlah Abas . Terima kasih kepada semua YB yang telah menyumbang untuk menjayakan Kem Kecemerlangan Pendidikan UPSR Anak Yatim Islam DUN Kesidang ini .

Peserta sedang mengikuti slot teknik menjawab soalan peperiksaan UPSR . 4 fasilitator yang terdiri dari guru-guru pakar serta berkemahiran dalam pemeriksaan kertas telah diundang untuk memberi bimbingan kepada mereka . Objektif PERKIM Cawangan Kesidang menganjurkan program ini selain merapatkan silaturrahim dengan golongan yang kurang bernasib baik , kami juga merasa bertanggungjawab membantu meningkatkan prestasi akademik mereka dengan penyediaan modul yang bersesuaian .

Peserta bergambar beramai-ramai selepas aktiviti riadah petang . Mereka tergolong diantara anak-anak yang mampu mengurus diri , berdisiplin dan mempunyai kesungguhan dalam tiap aktiviti yang dilaksanakan . Hidup tanpa ketua keluarga sejak kecil ternyata lebih mendewasakan mereka .


Peserta sedang menikmati makan malam sebelum solat maghrib berjemaah . Kem 2 hari 1 malam ini telah disusun dengan jadual program yang begitu padat meliputi riadah ( sukan) , slot bimbingan teknik menjawab peperiksaan UPSR bagi semua subjek utama , motivasi berkumpulan serta bacaan yasin dan kuliah subuh / maghrib . Peserta turut disajikan dengan makanan sebanyak 6 kali sehari .

Pendaftaran Kem Kecemerlangan Pendidikan ( UPSR ) Anak Yatim Islam DUN Kesidang . Memberi peluang kepada semua anak yatim sekolah - sekolah rendah di sekitar DUN Kesidang untuk mengikuti program yang dianjurkan . Diantara sekolah yang mengambil bahagian adalah SK Tengkera 1 & 2 , SKP Methodist 1 & 2 , SK Bachang , SK Limbongan , SK Methodist (ACS) , SK Paya Rumput dan SK Kubu. Selain anak yatim seramai 48 orang , 09 tempat turut disediakan kepada anak-anak ahli PERKIM yang berada di Tahun 4 - 6 menjadikan bilangan penyertaan seramai 57 orang .

Wednesday, May 3, 2006

Ceramah Perdana "IBU MUTHALI RATU HATIKU"


Ceramah Perdana DUN Kesidang telah dianjurkan julung-julung kali oleh PERKIM Cawangan Kesidang dengan membawa penceramah yang tidak asing lagi di kaca televisyen , Ustazah Siti Norbayah Mahmood . Ternyata Siti Norbayah dengan aura nya telah menarik ramai penonton untuk meluangkan petang mereka bersama PERKIM bagi bersama-sama mendengar slot ceramah sempena hari ibu . Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini khususnya Bahagian Rumahku Syurgaku (RKSK) dibawah Kerajaan Negeri Melaka dan PERKIM Bahagian Negeri Melaka yang telah menaja sepenuhnya ceramah perdana ini .




Seperti kebiasaannya , dimana-mana program ceramah , penonton wanita didapati mendominasi ruang dewan berbanding penonton lelaki . PERKIM sewajarnya memikirkan tajuk yang sesuai untuk menarik lebih ramai penonton lelaki pula mendengar ceramah .


Ceramah Perdana Sempena Hari Ibu telah dianjurkan oleh PERKIM Cawangan Kesidang . Penceramah jemputan merupakan pendakwah terkenal Ustazah Siti Norbahyah Mahmood dengan tajuk ceramah beliau " Ibu Mithali Ratu Hatiku " . Seperti biasa , Ustazah Siti berjaya menyampaikan ceramahnya dengan begitu baik sekali dan meninggalkan kesan kepada penonton yang hadir .