Monday, October 10, 2005

Sumbangan Idilfitri Saudara Muslim & Miskin

Sudah menjadi satu perkara biasa apabila sukarelawan PERKIM tiba-tiba muncul di pintu rumah golongan yang layak dengan membawa sekotak barangan dapur atau sebuah hamper berserta sampul hariraya untuk diagihkan kepada keluarga berkenaan . Berpeluh juga wakil kami apabila terpaksa turun naik tangga rumah pangsa kos rendah untuk mencari alamat yang ditetapkan . Kekadang mereka terpaksa meletakkan kereta di tepi jalan untuk meredah lorong-lorong sempit pinggir kampung dengan mengendong barang serahan ke destinasi . Berat mata memandang , berat lagi bahu yang memikul . Semoga keikhlasan mereka dibalas dengan kebaikan jua . Insyaallah.



Antara kumpulan yang turut menerima sumbangan dari PERKIM Cawangan Kesidang adalah anak yatim , ibu tunggal , warga kurang upaya dan fakir miskin . Sesekali apabila kami kekurangan tenaga sukarelawan untuk digerakkan ke sana ke mari maka mereka akan diundang ke Rumah Pengerusi PERKIM Kesidang Tn Hj Mohd Farid Md Saleh untuk mengambil sendiri sumbangan yang telah disediakan . Turut berada di dalam gambar adalah Pn Zarina Hussin ( Bendahari PERKIM 2008- gambar kiri berbaju biru) serta Pengerusi Tetap Tn Hj Safian Md Shah ( berbaju coklat paling kanan ). Disebelah beliau adalah Tn Hj Farid Saleh.


Setiap bulan Ramadhan Al-Mubarak warga PERKIM akan menziarahi ahli keluarga saudara muslim untuk menghulurkan sumbangan Idilfitri . Kelihatan Sdri Diana Tai Abdullah bersama ahli keluarganya ketika kunjungan kami ke rumah mereka .


Saturday, July 9, 2005

Lawatan ke Kuala Lumpur

Lawatan ke Ibu Pejabat PERKIM Jalan Ipoh , KL . Objektif lawatan ini adalah memberi pendedahan kepada ahli mengenai pertubuhan yang baru mereka anggotai . Di sini, ahli Perkim Kesidang telah diberi taklimat mengenai aktiviti dakwah dan kebajikan yang dijalankan oleh PERKIM Pusat .
Pengerusi PERKIM Kesidang , Tn. Hj. Mohd Farid bin Md. Saleh (gambar kanan) menyampaikan cenderahati kepada wakil PERKIM Pusat sebagai penghargaan diatas kesudian menerima kunjungan kami . Selain Ibupejabat PERKIM di Jalan Ipoh, rombongan Kesidang juga telah dibawa melawat Muzium Kesenian Islam dimana satu pameran khas mengenai 'Laluan ke Madinah ' sedang diadakan . Kami juga sempat berkunjung ke Saba Islamic Media di Taman Setiawangsa . Malangnya dikedua-dua lokasi , tiada rakaman gambar yang diambil .

Saturday, June 11, 2005

Lawatan ke Sarawak Bumi Kenyalang


Selamat datang ke Sarawak Bumi Kenyalang . Ini merupakan trip pertama yang dianjurkan oleh Perkim Cawangan Kesidang . Banyak perkara baru yang telah dipelajari oleh setiausaha seperti menghubungi pihak hotel mendapatkan sebut harga untuk penginapan 3h2m , mendapatkan perkhidmatan bas untuk membawa peserta mengelilingi Bandar Kuching , menguruskan surat menyurat untuk kunjungan silaturrahim ke Astana Negeri , HIKMAH dan Perkim Sarawak. Setiausaha juga dipertanggjawabkan membuat tempahan tiket pesawat , menghubungi Sarawak Tourism Board utk perkhidmatan tram percuma dan yang paling melecehkan adalah menyediakan borang penyertaan dan mengedarkannya kepada peserta yang berminat .
Bagaimanapun , syukurlah ... Allah swt sentiasa mempermudahkan setiap urusan bergantung kepada keikhlasan bekerja kerana tidak ramai yang tahu berapa banyak bil yang telah dibelanjakan oleh PERKIM untuk menghubungi pihak-pihak yang berkenaan menerusi telefon dan fax , juga nilai setem dan sampul surat . Berapa ramai yang sedar bahawa tiada sesiapa pun diantara AJK-AJK Perkim Kesidang yang pernah menerima elaun atau saguhati atas usaha yang telah dilakukan ? Semuanya di atas satu kesedaran "berkhidmat kepada masyarakat menuju keredhaan Allah swt ."
Kepada semua ahli dan AJK Perkim Kesidang , anggaplah selepas berbuat kebajikan kepada golongan yang memerlukan ....maka kita sebagai satu keluarga akan bersama-sama memulakan perjalanan dan berkongsi pengalaman , menerokai bumi ciptaan Allah swt kerana ini juga adalah sebahagian dari ibadah .

Sebahagian peserta sedang bergambar di Petrajaya , Kuching sebuah kawasan baru yang dibangunkan untuk pentadbiran negeri . Suasana di Petrajaya mengingatkan kami pada Putrajaya dengan deretan bangunan yang unik rekabentuknya , dikhususkan untuk pentadbiran negara.


Pemandangan yang sungguh indah ibarat lukisan berlatarbelakangkan sungai Sarawak . Beberapa orang peserta sedang bergambar kenang-kenangan di pinggir Sungai Rejang sementara menanti ketibaan bot penambang yang akan membawa mereka ke seberang . Walaupun ramai yang keberatan menaiki bot kecil berkenaan tetapi kerana tiada pilihan , mereka terpaksa juga meredah arus sungai yang deras dengan menempatkan diri masing-masing ke dalam perut bot . Kecutnya perut hanya Tuhan yang tahu.


Lawatan silaturahim ke Astana Negeri . Terima kasih kepada pihak Astana Negeri Sarawak yang telah sudi menerima kunjungan kami dari Semenanjung . Ini merupakan satu pengalaman menarik kepada semua peserta kerana berpeluang melawat Astana yang merupakan tempat kediaman rasmi TYT Yang Dipertua Negeri Sarawak dan disajikan pula dengan laksa Sarawak yang lazat dan kuih muih tempatan Sarawak yang sungguh enak .

Saturday, January 1, 2005

MESYUARAT AGUNG PERKIM KESIDANG

Bacaan doa oleh Tn Hj Suid Albana Sabon bagi memberkati majlis .


Suasana sekitar mesyuarat agung PERKIM Cawangan Kesidang .


Hamper-hamper yang disumbangkan oleh AJK PERKIM cawangan Kesidang sendiri sebagai penghargaan dan galakan kepada ahli -ahli agar sentiasa menghadiri mesyuarat yang dianjurkan .

Urusetia terlibat sedang sibuk menguruskan agihan makanan yang disediakan secara 'packing' . Kaedah ini didapati lebih praktikal kerana setiap ahli mendapat bekalan masing-masing dan terpulang kepada mereka sama ada ingin menikmatinya semasa mesyuarat berlangsung atau membawanya pulang .


Naib Pengerusi PERKIM Kesidang Tn Hj Ab Satar Abu Hassan menyerahkan cenderahati kepada Almarhum YBhg Datuk Hj Mohammad b. Amat , Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka selaku wakil Bahagian yang hadir di mesyuarat agung cawangan .


Barisan urusetia yang ditugaskan di meja pendaftaran . Agihan buku program yang mengandungi minit mesyuarat serta laporan aktiviti tahunan diagihkan kepada ahli selain kutipan yuran tahunan dan nombor cabutan bertuah .

Memandangkan ramai ahli yang hadir dengan anak-anak semasa bermesyuarat , bagi melancarkan perjalanan mesyuarat satu pertandingan mewarna diadakan khusus untuk anak-anak ahli PERKIM . Hadiah-hadiah disediakan untuk mereka .

YB Datuk Latif bin Datuk Hj TambyChik selaku ADUN Teluk Mas yang juga bertindak sebagai bapa angkat DUN Kesidang , merupakan penasihat PERKIM Cawangan Kesidang akan sentiasa diundang sebagai perasmi bagi Mesyuarat Agung Perkim Cawangan Kesidang .